Sungguh. Dia terpempan! Hatinya bagai disiat-siat. Dunianya dirasakan
kelam. Inilah rasa sakitnya putus cinta. Tidak pernah dalam kamus hidup
Qistina dirinya dikecewakan, bahkan itulah cinta pertamanya. Cukup
segalanya diberikan kepada insan bergelar sang arjuna. Disangka panas
hingga ke petang, kiranya hujan di tengah hari. Fikirnya itulah insan
yang bakal menjadi kunci pendua hatinya. Musnah impiannya untuk membina
mahligai bahagia bersama si dia.
Turutkan hati sudah lama dia membunuh diri. Daripada menelan pil lebih
dos, kelar tangan sehingga cubaan terjun bangunan, segala usaha sudah
puas cuba dilakukan. Tapi, semuanya gagal.
"Qis, cukuplah Qis! Mak dah tak sanggup nak tengok Qis menderita lagi.
Tak ada untungnya pun, mudaratkan diri adalah! Si Fuad tu bukannya kisah
tengok keadaan Qis macam ni. Dia senang hati ...Qis yang tak tentu
hala," sedih Puan Rahmah mengenangkan nasib puteri tunggalnya. Buntu
melihat keadaan Qistina. Makan tak lalu, asyik terperap dalam rumah.
Kerja entah ke mana, solat entah ke mana.
"Mak, Qis sayang sangat dia. Qis dah bagi segala-galanya. Qis tak boleh hidup kalau dia tak ada, lebih baik Qis mati je mak."
"Astaghfirullah! Mengucap, Qis. Ingat Allah. Bukan cinta manusia yang
kita nak kejarkan, tapi cinta Allah." Puas dipujuk, hanya mati jua yang
diluahkan oleh Qistina. Kalaulah dia sedar nikmatnya hidup Allah, pasti
bukan ini yang dipinta.
Berbulan telah berlalu, namun masa masih belum mampu mengubat perih hati
Qistina. Jiwanya masih belum benar-benar tenang. Terasa masih ada ruang
yang kosong di hatinya. Tapi, apa? Kenapa tiada klu untuk soalan ini?
Kenapa susah benar mahu lupakan kesedihan ni?
Malam itu Qistina terasa resah yang amat. Hatinya terasa pedih sangat.
Bagai meronta-ronta meminta sesuatu yang tidak pasti. Kepalanya berat
sekali. Tapi entah kenapa tangannya terasa ringan mahu mencapai
bungkusan coklat di penjuru meja studinya. Itu pemberian terakhir Fuad
sebelum mereka berpisah. Segala kenangannya sebelum itu telah dibakar,
hanya tinggal bungkusan itu sahaja. Pelik, terasa sayang untuk
membuangnya tapi dia belum ada kekuatan untuk membukanya. Baru malam itu
dia seolah-olah diberi kudrat menyentuhnya.
"Qis, Fuad minta maaf. Mungkin ni kali terakhir kita berjumpa. Fuad rasa
kita patut putus je. Fuad tak mampu nak bagi apa-apa pada Qis, cuma ni
aja yang boleh Fuad bagi." Itulah kata-kata terakhir Fuad sebelum
menyerahkan bungkusan coklat itu kepadanya. Tiada khabar lain selepas
itu.
Hati Qistina meruntun kembali. Tapi digagahkan juga membuka bungkusan
itu. Subhanallah! Terpacul kalimah itu daripada bibir Qistina. Sebuah
mushaf berwarna hijau pucuk pisang dikeluarkan perlahan-lahan. Tafsir
al-quran! Entah bila kali terakhir dia menyentuh kitab seperti itu. Air
matanya berderai. Tidak mampu ditahan. Dibuka helaian pertama ...ada
nota kecil didalamnya.
Buat Qistina, Fuad minta maaf seandainya tindakan Fuad betul-betul
menghancurkan hati Qis. Jujur bukan itu niat Fuad sebenarnya. Pedih
rasanya hati ni untuk mengambil keputusan seperti itu. Tapi, Fuad tak
mampu. Tak mampu untuk berhadapan dengan Allah nanti. Cukup banyak
rasanya dosa yang kita dah buat selama ni. Memang Fuad sayangkan Qis,
tapi Fuad tak mampu nak letakkan cinta kepada Qis melebihi cinta Allah.
Sebab tu Fuad tak nak jadi insan yang mengheret Qis ke neraka. Fuad
bukanlah orang yang layak untuk menerima cinta sejati daripada Qis.
Harga sebuah mahar cinta sejati itu terlalu mahal. Hanya mampu dimiliki
oleh sang Pencipta sahaja. Sepertimana nama Nur Qistina Wafa' ...cahaya
keadilan dan kesetiaan, begitu juga harapan Fuad. Berlaku adil dan
setialah kepada Yang Esa. Hanya ini yang mampu Fuad berikan
....ayat-ayat cinta daripada Kekasih yang paling agung.
Lencun sudah baju Qistina. Air matanya tidak henti-henti mengalir.
Diselak-selak lagi helaian berikutnya. Terdapat pula nota tulisan nama
surah dan ayatnya. Dicari dan dibacanya satu persatu.
"Dan apabila hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka
(jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan
orang yang berdoa apabila ia memohon kepadaKu, maka hendaklah mereka itu
memenuhi (segala perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu,
agar mereka sentiasa dalam kebenaran."
(Surah al-Baqarah, ayat 186)
"...dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi
kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi
kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu),
sedang kamu tidak mengetahuinya."
(Surah al-Baqarah, ayat 216)
Matanya tertancap pada ayat yang benar-benar menusuk jiwanya.
"Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan
mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati akan
menjadi tenteram."
(Surah ar-R'ad, ayat 28)
Ya. Inilah jawapan kepada seribu satu persoalan Qistina. Itulah pertama
kali sejak kali terakhir dia bersujud di tikar sejadah. Malam itu
menjadi saksi kehambaannya kepada Yang Esa. Entah berapa banyak air mata
yang melimpah. Membawa diri untuk kembali kepada yang hakiki. Jauh di
sudut hatinya, tiada apa yang mampu diluahkan '...Terima Kasih
Kekasihku, bukan Engkau yang melupakanku, tapi aku yang terlupa akanMu.'
Sungguh. Benar. Memang dunia tidak cukup adil kepada kita. Tetapi Allah
itu Maha Adil. Perancangannya cukup rapi untuk setiap makhluknya. Dia
sentiasa menyimpan pelangi untuk setiap hujan panas yang dialami
hambanya.
No comments:
Post a Comment
assalamualaikum...
sila la tnggalkan k0men kat cni!! satu pun jadi la !!
mekasih :)